Wednesday, October 22, 2008

Kembara Seni Universiti Malaya

Pengenalan

Jabatan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya adalah sebuah jabatan yang mengkhusus dalam bidang seni visual, seni persembahan dan pengurusan seni. Salah satu misi jabatan adalah melatih para pelajar supaya mahir dalam bidang-bidang ini agar menepati kehendak pasaran pada masa akan datang. Jabatan Kesenian Melayu juga bukan hanya menekankan kaedah pengajaran melalui pendekatan teori semata-mata, bahkan kaedah pengajaran melalui praktikal turut diutamakan. Justeru, program Kembara Seni adalah medium yang paling tepat untuk pelajar jabatan ini meneroka kesemua bidang-bidang seni dari serata tempat.
Objektif

· Meneroka bidang-bidang kesenian Melayu sama ada seni visual, seni persembahan mahu
pun dalam bidang pengurusan seni

· Memupuk semangat cintakan seni warisan bangsa Melayu

· Melahirkan generasi pelapis dalam bidang kesenian Melayu

· Mendekatkan diri para pelajar jabatan dalam bidang lapangan seni secara praktikal

Program Kembara Seni

Program Kembara Seni di bawah anjuran Jabatan Kesenian Melayu dibahagikan kepada 3 bidang yang paling utama iaitu Seni Visual, Seni Persembahan dan Pengurusan Seni.

Bengkel Seni Visual
Antara aktivitinya adalah mengadakan Bengkel Seni Visual di sekolah-sekolah menengah di Malaysia, para pelajar jabatan bertindak sebagai fasilitator mengendalikan bengkel tersebut yang mengajar para pelajar sekolah membuat catan, kolaj, batik, mural dan lain-lain. Selain itu juga, Bengkel Seni Visual akan menjemput beberapa orang pakar dalam bidang seni ukiran kayu, kraf, kaligrafi, tenunan, tekatan, jahitan dan pembuatan tembikar untuk mengajar para pelajar jabatan.

Bengkel Seni Persembahan
Antara aktivitinya adalah mengadakan Bengkel Seni Persembahan dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang seni tari (zapin, inang, asyik, piring, dabus, randai, kuda kepang dan lain-lain), dramatari (main puteri, menora, makyong, dan lain-lain). Selain itu juga turut diadakan bengkel seni lakon dan seni vokal muzik tradisional.

Bengkel Pengurusan Seni
Antara aktivitinya adalah mengadakan Bengkel Pengurusan Seni dengan mengadakan lawatan di institusi-institusi seni tanahair seperti Balai Seni Lukis Negara, Kompleks Kraf, Institut Kraf, Istana Budaya, Taman Budaya Melaka, FINAS, Muzium Negara/Negeri, Produksi-produksi filem dan Syarikat-syarikat rakaman, agensi-agensi pengiklanan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, ASTRO dan lain-lain. Antara lain tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengetahui sistem pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi seni yang terdapat di Malaysia.







No comments: